PUTIK KAPAS PUNCA KURANG DENGAR

Seiring dengan perkembangan sains dan teknologi, kesedaran masyarakat berhubung peri pentingnya menjaga kesihatan turut meningkat. Limpahan produk kesihatan yang ada dipasaran turut merangsang minat pembeli bahawa segalanya baik untuk kesihatan. Tanpa kita sedari, penggunaan ubat-ubatan atau alat-alatan yang tidak betul mengikut kefahaman yang sebenar boleh mendatangkan kesan buruk lebih banyak daripada yang baik.

Mungkin kita yang sering menggunakan putik kapas dengan anggapan ia boleh membersihkan telinga. Semakin kerap ia digunakan maka akan dirasakan bahawa telinganyalah yang paling bersih dalam kalangan rakan-rakan. Ada yang menggunakan putik kapas pada waktu yang perlu, atau untuk beberapa kali dalam seminggu malah ada juga yang menggunakanya pada setiap hari.

Mungkin suatu pendedahan atau maklumat yang baharu sekiranya anda diberitahu bahawa penggunaan putik kapas sebenarnya bukan sahaja tidak mampu membersihkan telinga, bahkan ia boleh menyebabkan masalah gangguan pendengaran. Itulah hakikat jawapannya jika anda bertanya kepada pakar telinga di mana-mana klinik atau hospital swasta sekali pun.

APA SEBENARNYA TAHI TELINGA

Manusia diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, lengkap dengan mekanisme yang membolehkan ia menjalani hidup selesa, walaupun tanpa perkakasan tambahan. Saluran telinga manusia mempunyai bahagian yang dilapisi kulit yang menghasilkan lilin telinga. Saluran telinga luar mempunyai struktur menyerupai rerambut halus yang terletak lebih ke luar, dan bahagian tanpa rerambut yang letaknya lebih hamper dengan gegendang telinga. Lilin telinga, yang kita mengenalinya sebagai tahi telinga terhasil daripada kelenjar yang terletak di bahagian yang lebih ke luar daripada keseluruhan salur telinga. Ia berfungsi melindungi bahagian lebih dalam telinga daripada dimasuki sebarang benda atau serangga terutamasewaktu kita tidur. Majoriti dalam kalangan masyarakat menganggap lilin telinga ini kotor dan perlu dicuci, dan fahaman ini adalah salah.

PERLUKAH MENGOREK TELINGA?

Menjadi suatu lumrah bahawa sesuatu yang dijenamakan sebagai “tahi” itu perlu dicuci. Di sinilah timbulnya kesilapan yang pertama. Lilin telinga terhasil daripada proses fisiologi dalam diri manusia. Amaun yang dihasilkan amatlah sedikit. Yang menjadikannya banyak ialah tindakan kita yang sering mengganggu proses pencucian lilin telinga ini yang sepatutnya berlaku tanpa diganggu. Rerambut halus yang terdapat dalam saluran telinga sebenarnya telah diprogramkan untuk menyapu keluar lilin telinga ini. Disebabkan itulah bagi mereka yang tidak menggunakan putik kapas, akan terasa seperti debu-debu berhampiran dengan kawasan cuping telinga. Itu sebenarnya ialah lilin telinga yang secara automatic telah disapu keluar oleh petugas-petugas yang sentiasa bekerja di dalam telinga kita. Apabila tugas mereka diganggu, maka semakin hari semakin banyaklah lilin telinga akan berkumpul dan terperosok ke bahagian yang lebih dalam. Sampai ke suatu tahap, kita akan mengalami kurang dengar jenis konduktif (conductive hearing loss).

Ada juga dalam kalangan kita menggunakan benda-benda yang lebih berbahaya seperti pin rambut, lidi, hujung pensel dan sebagainya untuk mengorek telinga. Penggunaan alat-alatan ini lebih mengundang padah kerana ia akan lebih mendedahkann pesakit kepada kecederaan yang lebih serius seperti luka pada saluran telinga dan kerosakan pada gegendang telinga selain daripada ia turut mendedahkan kepada risiko jangkitan kuman pada saluran telinga yang dipanggil otits eksterna.

BAGAIMANA TERJADINYA KURANG DENGAR

Apabila terlalu banyak lilin telinga yang termampat dan terperosok ke dalam, ia semakin menghampiri gegendang telinga. Gegendang ini berfungsi sebagai penukar daripada tenaga bunyi kepada tenaga getaran atau mekanikal. Apabila ada sesuatu yang menyentuh apatah lagi menghimpit atau menekan ke atasnya, maka sistem konduksi bunyi akan terganggu dan terjadilah masalah pendengaran. Penggunaan putik kapas yang kerap juga boleh meningkatkan risiko mendapatkan otitis eksterna, terutamanya apabila putik kapas tersebut tidak dipastikan kebersihannya. Terdapat juga kes-kes yang mana bahagian kapasnya tertinggal di dalam saluran telinga dan pesakit berasa kurang selesa yang teramat sangat.

Pesakit selalunya akan tampil ke klinik dan hospital apabila terjadinya masalah pendengaran yang mengganggu tugas harian mereka. Ada juga dalam kalangan pesakit yang menghadapi bunyi bising (tinnitus) di dalam telinga. Setelah menjalani pemeriksaan dan disahkan lilin telinga termampat, doctor akan menggunakan beberapa kaedah untuk mengeluarkannya.

Kaedah konvensional yang digunakan adalah dengan memancutkan air suam ke dalam telinga dengan menggunakan picagari (ia perlu dilakukan oleh mereka yang terlatih sahaja). Dengan cara ini, lilin telinga akan menjadi sedikit lembut dan lama kelamaan ia akan terkeluar dengan arus air tersebut. Bagi sesetengah kes pula, ketulan-ketulan yang terlalu keras dan mampat akan dilembutkan terlebih dahulu dengan sejenis ubat titis telinga dan kemudianya barulah lilin yang termampat tadi mudah dikeluarkan. Sesetengah hospital terutamanya hospital besar yang mempunyai perkhidmatan pakar telinga, kaedah penyedutan lilin telinga di bawah pemeriksaan mikroskopi boleh dilakukan.

Apabila lilin telinga telah dikeluarkan, biasanya pesakit akan memperoleh tahap pendengaran seperti sediakala. Nasihat yang diberikan ialah supaya pesakit tidak lagi menggunakan putik kapas pada masa akan dating. Kita perlu ingat bahawa badan kita telah diciptakan dalam keadaan yang cukup baik dan serba lengkap. Sebarang manipulasi hendaklah disertakan dengan ilmu yang cukup agar kita tidak ditimpa mudarat. Benarlah kata orang-orang tua bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat.


Petikan dari majalah DEWAN KOSMIK keluaran April 2008 (halaman 18-19)


Source : harmoni.kuskom